Pages

Monday, 25 June 2012

Saat Ceria: Membilang Hari Ke Kampung.

(Gambar sekadar hiasan)

Assalamualaikum sahabat sekalian. Bagaimana hari anda hari ini ditempat kerja?. Moga apapun situasi hari ini teguhkan pendirian, tabahkan hati dan senyum bersama famili tersayang. Pernah satu ketika saya menaiki sebuah teksi untuk pulang ke rumah selepas dari bekerja. Waktu itu jiwa berkecamuk memikirkan hal dan kerenah manusia di pejabat. Kacau sungguh jiwa saya hingga Pakcik yang memandu teksi yang saya naiki menegur. Nasihatnya pada saya tidak kira apa jua masalah ditempat kerja jangan bawa keluar terutama ke rumah, anggap saja sekarang sudah tamat waktu kita sudah bebas. Masalah itu kita tinggalkan di pintu pejabat, katanya dengan tenang. Hmm, terus saya senyum, ringan terasa dada memikirkan ada insan luar seperti Pakcik ini yang begitu berpengalaman dan prihatin memberi nasihat berguna. Lalu saya ucapkan terima kasih, menarik nafas panjang dan belajar menenangkan hati yang gundah. Alhamdulillah, Allah Subhanahuwataala pertemukan saya dengan insan ini yang walau sekejap mampu membuatkan saya sedar dan berfikir. Itu kenangan yang saya hargai hingga saat ini. 

 Hidup saya serba ringkas tak banyak yang menarik untuk dikongsi namun saya punya minat untuk menulis dan bercerita. Apa saja yang menarik minat saya dalam kehidupan sehari-hari dan anda juga. Berkongsi adalah jalan terbaik dalam hidup agar kita punya peluang mengenali ramai insan lain di sekitar kita mahupun dalam dunia jalur lebar. Kali saya mahu berbual tentang saat pulang ke kampung. Bukan untuk hari raya tapi untuk hari-hari biasa, pendek kata pulang ke kampung tetap istemewa biar hari apapun. Namun sudah ramai yang teruja kerana lgi beberapa minggu kita akan dipertemukan dengan bulan yang Mulia iatu bulan Ramadhan. Serasa saya ramai kaum wanita sudah sibuk mencari kain buat dijahit baju kurung tradisional atau moden, mungkin juga kebaya atau blaus tidak kurang juga yang gemar memakai jubah. Pilihan saya tahun ini merah dan merah jambu, Insyallah moga hajat tercapai. Itu cerita menyambut Ramadhan dan persiapan Hari Raya. Tapi kini kita cerita tentang kenduri-kendara, duhai lama betul rasa menunggu untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan kenduri sambut menantu. Mood saya untuk bekerja juga sudah turun naik. :)


Semakin cemburu bila kakak sulung saya sudah mula bercuti sejak dari Isnin, yang lain-lain pula akan mula bergerak kesana pada hari Khamis. Haru rasa hati kerana terpaksa menanti suami yang masih perlu berkerja pada hari Jumaatnya. Jika diturut hati ingin pergi dahulu namun biar susah senang, jauh dekat, cepat mahupun lambat kami sama harungi dan rasai. Tidak sanggup membiarkannya sendirian. Saya rasa ramai yang berperasaan seperti saya bila tiba masa ingin pulang ke kampung. Hati berbunga riang, wajah semakin ceria, beban kerja sudah tidak terasa, separuh hati disini yang sebahagian pula disana. Dalam fikiran sudah mencanang rancangan yang ingin dilakukan bersama-sama. Bagi yang muda seperti anak-anak buah itulah masa untuk mengambil peluang mengenakan ibu dan bapa saudara yang tidak lokek berbelanja. :) Indahnya perasaan...


Tentang kenduri lebih menjadi-jadi suasananya. Paling akhir kenduri besar buat famili saya adalah hampir 5 tahun yang lepas. Mungkin kerana itu ibunda sangat beria-ia, awal lagi sudah dipesan ahli keluarga supaya mengenakan tema warna yang sama pilihannya. Saya mengikut saja, kerana adik-beradik sudah sepakat. Jadi tahun ini bukan saja perlu menempah baju raya tapi juga perlu membeli baju khas buat dipakai masa kenduri nanti. Tiap kali saya menelefon dikampung, dengar saja ibunda bercerita mengenai persiapan itu ini. Rumah sudah dicat baru, langsir juga sudah dijahit kakak, adik perempuan saya pula rajin membantu mengemas dari awal apa yang perlu di bersihkan dari kini. Yang istimewa kad undangan dicipta khas oleh adik yang agak kreatif orangnya. Coraknya pula ditapis dahulu oleh ibunda. Saat saya menerima kiriman kad undangan tersebut saya tersenyum simpul, begitu warna-warni, comel dan ceria sekali. Selera dan idea orang muda agaknya. Ringkas, murah dan mudah namun saya tabik usahanya. Yang penting jangan sekali membazir wang ringgit untuk kad kahwin yang bakal di buang ke dalam tong sampah.


Seronok menulis kisah hati, rasanya fikiran saya semakin menerawang kesana-kemari, dalam hati memujuk dan berdoa moga segalanya berjalan-lancar. Semangat saya untuk memulakan perjalanan kekampung semakin memuncak namun dengan sabar moga tugas disini saya selesaikan dengan baik. Bila tiba masanya saya akan rasa bebas buat seketika, Insyaallah. Selamat malam semua dan moga anda senyum saat bangun pagi esok. Kita bekerja kerana Allah. 





Nota: Hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri, baik lagi dinegeri sendiri. 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.