Dalam ketidaksabaran saya menunggu, akhirnya sampai juga kita kepada malam istimewa iaitu malam Jumaat. Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari dan yang paling penting hari terakhir untuk bekerja pada minggu ini bagi yang bekerja 5 hari seminggu, pada yang tidak, sabarkan diri dan moga anda terus tabah bekerja dengan ikhlas demi hasil yang halal. Ini mungkin entri terakhir saya dalam minggu ini hingga saya kembali semula dari bercuti di kampung. Pendek kata sampai dikampung jangankan internet, minat untuk melihat laptop juga tiada kerana terlalu sibuk dan gembira bersama kaum famili. Pada pendapat saya itulah masa untuk berehat dari rutin yang sama di Kuala Lumpur. Balik kerja sahaja, selepas selesai menunaikan tangungjawab sebagai seorang isteri, laptop merupakan teman setia saya selain suami. Sampai tegang urat belikat, al maklum suami dan saya masih lagi dalam honeymoon mood tanpa kehadiran cahaya mata. Mahu tidak mahu kita redha dan usaha. Insyaallah satu hari nanti tak siapalah tahu. :)
Oh ya, sebelum melabuhkan tirai malam saya ingin bercerita mengenai sejenis manisan dari kaum India, cara penyediaannya amatlah ringkas seperti kita memasak bubur sagu namun sudah tentu apa jua masakan anda ingin cuba anda mestilah tahu langkah-langkah penyediaannya. Dan yang pasti saya bernasib baik kerana mendapat tunjuk ajar daripada ibu mertua (Amma) yang tidak lokek mengajar saya. Mari kita belek bahan-bahannya:
(Instant made from Babas) |
Payasam
Bahan-Bahan diperlukan:
2 sudu besar kismis
1 sudu besar minyak sapi
3 cawan air
2 sudu biji gajus
1/2 cawan susu sejat
1/2 cawan sagu
secubit serbuk buah pelaga
1/4 sudu teh garam
1/2 cawan putih atau gula perang
Sedikit pewarna makanan berwarna kuning
Cara-Caranya:
Goreng kismis dan kacang dalam minyak sapi cair, sehingga kacang keperangan dengan api yang perlahan. Lalu keluarkan dari dalam kuali.
Rebus sagu, buah pelaga dan garam dengan air sehingga sagu hampir masak.
Tambah gula & susu sejat. Renehkan selama 2 minit.
Kemudian masukkan kismis, kacang dan pewarna makanan. Setelah masak payasam ini boleh dihidangkan secara panas ataupun sejuk sebagai pencuci mulut.
Mudahkan, itu maklumat pada yang inginkan payasam buatan sendiri, tetapi kini jika ada yang kepinginkan payasam anda boleh saja membeli payasam ready made packet keluaran Babas. Jika masak dengan payasam ready made packet Babas anda cuma perlu rebus bahan-bahan dalam peket ke dalam air hingga sagu hampir masak kemudian tuangkan susu sejat dan biarkan mendidih buat seketika. Saya jamin dengan cara penyediaan yang ringkas ini anda akan puas hati kerana dapat merasai manisan selain dari kuih muih dan pencuci mulut kaum Melayu yang telah menjadi tradisi dan kegemaran kita turun -temurun.
"Selamat mencuba!"
Nota: Dua budaya, pelbagai rasa namun satu hati.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.