Pages

Tuesday 31 July 2012

Hasil Sentuhan Bakat Semulajadi

Apa khabar semua? Rasa sudah selang beberapa hari saya tidak menulis entri terkini. Keletihan dan kesuntukkan masa menyebabkan mood untuk bercerita kurang. Tapi hari ini mood saya naik mendadak, semuanya disebabkan gambar-gambar lukisan yang menarik yang sempat saya muat turun buat tatapan semua yang berkesempatan menjenguk ke laman blog ini.

Apa yang boleh saya katakan, tersentuh hati, terimbau nostalgia lalu, saat melihat keindahan lukisan tema klasik ini. Ada sesuatu yang menyentuh perasaan tika melihat calitan dan kehalusan warna-warna lembut yang memberikan jiwa seribu ketenangan. Memanggil hati menginginkan lukisan-lukisan ini buat hiasan ruangan rumah yang tersendiri. Apa yang mampu saya katakan perasaan itu istimewa dan sukar terucap oleh kata-kata. Hati berbisik, keindahan bakat itu adalah kurniaanMu Tuhan yang diterjemahkan diatas kanvas putih bagi ditafsir mereka yang mengerti nilai kesenian semujadi itu. Mari kita selami bisikan hati seorang pelukis...


(Indahnya)

(Ringkas & sejuk dipandang) 

(Misteri sebuah kesunyian) 

(Nostalgik)

(Seribu misteri)

(Dialam fantasi)


Nota: Melukis adalah sebahagian dari diri saya sejak kecil...minat itu tidak pernah padam, malah menjadi kebanggaan bagi kami adik-beradik suatu masa dahulu. (Banggalah menjadi diri sendiri walau apa jua pencapaian kita setakat ini). 

Saturday 28 July 2012

Ilham Minda

Sehari lagi Ramadhan telah berlabuh, malam menjelma menunggu waktu untuk bersahur. Jika saat ini anda ditemani serta di ulit mimpi indah bersama yang tersayang moga ketenangan dan kegembiraan sentiasa menjadi milik anda buat hari ini dan esoknya jua. Misteri alam dan kehidupan sentiasa menjanjikan kita satu cabaran yang berbeza-beza. Moga kita akan tabah menghadapi dan mampu tersenyum dengan cabaran demi cabaran yang mendatang. 


Pernah kita berfikir, saat kita terlalu sibuk mengejar kehidupan kita mungkin telah melupakan sesebuah persaudaraan, saat kita rakus mencapai kedudukan dan pangkat kita sombong dengan mereka yang pernah suatu ketika disisi kita menyemai kepercayaan dan sokongan. Jangan kita angkuh, jalan pandanglah kebawah sesekali, renungi kiri dan kanan. Perhatikan saat kita bergaya dengan handphone dan kereta baru, handbag gucci mahupun t-shirt D&G kita. Atau apa jua keadaan kadang kita lupa pujian orang hanya seketika,jangan terlalu dibuai kemasyuran dan kemanisan komen yang entah ikhlas entahkan tidak. Fikir-fikirkanlah... 

(Kita tidak sempurna) 

Apa jua yang ditulis diatas adalah buah fikiran dan cetusan pendapat peribadi saya yang juga kurang serba-serbi. Sekadar menyuarakan apa yang terpendam hasil dari pengalaman sendiri buat peringatan diri dan mereka yang sudi membaca blog ini. 

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” [Al Israa’:37]

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [Luqman:18]

Friday 27 July 2012

Mari Rehatkan Minda: Photoshop, Asli & Suka-Suka.

Salam sejahtera buat semua, pada yang bercuti selamat bercuti pada yang bekerja selamat menjalankan tangungjawab anda. 

Hari ini cuaca sangat indah, bangun saja kita rasa bersyukur kerana dapat lagi menikmati hari ini. Saat buka mata mungkin ada yang sudah mencanang ke bazar Ramadhan mana bakal jadi singgahan petang nanti kan.. :) Itulah kisah orang berpuasa, bazar dan sejuta idea untuk memasak dicari bagi saat berbuka. Lain pula bagi yang berniaga. 


Rasanya semua orang tahu kebaikan berpuasa bila nafsu makan mampu dikekang kerana keazaman dan keimanan. Sifat kerjasama sesama ahli keluarga juga mampu dirasa bila sama-sama turun kedapur bergotong-royong menyediakan juadah dan manisnya bila semua ahli keluarga sama-sama menikmatinya. Indahnya! 


Sendirian di kamar, untuk sesi pagi ke tengahari saya layan chat dan facebook dengan kengkawan mahupun teman rapat sepejabat. Sementelah setelah urusan lain di siapkan lalu jari mula menari mencari ilham menulis sekadar mengisi waktu dan melepaskan minat. Lalu mari kita rehatkan pancaindera sekejap dengan snap foto-foto, lukisan dan lain-lain yang menenangkan... 




(Lawak kiut kan)





(Memukau warnanya)






(Tomei lotei! Lebih dari gambar dibawah tu) 

(Fairytale comes alive)

(Ini boleh ke??? Hehe! )
(Hahha! Ini pun boleh kira cuci matakan, jangan makhruh pahala sudah...) 


Nota: Gambar sekadar renungan... :) 

Coklat Gergasi!

Tengok gambar pun sudah terliur. Agak-agak ada sesiapa tak yang tengah kempunan makan coklat. Bila tengok kilauan berwarna coklat ni kecur dibuatnya. Dalam kepala terfikir, coklat betul atau tiruan ni?. Betul-betul gigih dan hebat mereka yang menjayakan program pembuatan coklat seperti ini. Sekurang-kurangnya yang tidak habis boleh dibuat sedekahkan. :) 

Bar coklat terbesar di dunia ini dibuat oleh sebuah syarikat pengusaha coklat iaitu Grand Candy  di Armenia bagi meraikan ulang tahun kesepuluh syarikat mereka. Coklat yang seberat 4, 410 kg ini memerlukan 48 jam iaitu sebanyak dua hari untuk disediakan termasuk mencampur bahan, memangang dan mengisar biji coklat.  

Rasanya kegigihan punca kejayaan bukan,...hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Namun jika yang kemaruk coklat sekalipun kurang-kurangkanlah makanan manis demi untuk kesihatan. 






(Bar coklat gergasi yang telah siap) Gambar dikongsi dari google artikel 

Nota: Senyum tak perlu kata apa-apa, senyum itu seindah suria pagi. 

Thursday 26 July 2012

Hey! Dia Buat Apa Tu???.


(Bantal peluk hidup)
Haha! Kalau nak tahu inilah si jantan Tajai namanya, buah hati pengarang jantung ibunda dan adik tersayang. Boleh tahan tak cara dia duduk, macam penat benar nampaknya. Si Tajai ini sangatlah gebu,  jika tidak dikawal mungkin satu hari nanti boleh jadi seperti kucing obesiti (terlebih gemuk) di Youtube yang terkenal iaitu "Meow the fat cat" yang telah pun mati baru-baru ini akibat kegagalan jantung berfungsi. Saya selalu berpesan pada ibunda dan adik agar mengawal pemakanan si Tajai takut-takut susah pula nanti jika dia obesiti. Rasanya cukuplah tuan-tuannya saja yang gebu-gebu. Haha! Kiranya ini kenyataan berani mati, pada yang gebu-gebu harap anda bangga kerana semua orang mahu peluk dan gomol macam meow di Youtube ni. (Saya bangga jadi gebu!) :) 


(Meow the fat cat)

Seperti kucing lagi gemuk lagi comel namun  ada juga manusia yang tidak gemar duduk diam dengan sengaja mahu mencari jalan menyakiti hati insan lain dengan mereka sedari. Tambah lagi bagi golongan yang comel-comel gebu. Ada juga manusia-manusia yang merasakan diri sempurna memperlekeh insan lain dengan melangkaui batasan privasi orang lain tanpa rasa bersalah. Jika yang tidak terniat berkata-kata atau gurauan senda tentang hal tubuh badan seseorang individu itu rasanya boleh lagi dimaafkan bukan. Selebihnya sendiri mahu ingat, kerana hidup ini benar-benar umpama roda. Kita tidak pernah akan tahu apa yang akan terjadi esok hari, mahupun satu jam yang akan datang. Jangan saat kita leka Tuhan bayar tunai atas keangkuhan kita pula. Biarlah hidup kita ini disurami sifat hormat-menghormati, prihatin, bertimbang-rasa dan merendah diri. Jika mahu menasihati dan memberi pandangan dari segi kesihatan rasanya tuan badan tentu gembira menerima niat baik anda itu.

Panjang sudah saya mengomel tentang yang gebu-gebu, dari kucing ke lain pula kisahnya. Pada yang sukakan haiwan kucing ini, jagalah haiwan peliharaan anda sebaik mungkin. Ingatlah dalam hati, setiap yang baik kita lakukan termasuk berjasa pada haiwan yang lemah ada ganjaran baik menanti. Jangan kita sesekali kejami mereka ini, kerana mereka ini makhlukNya jua. Amanah kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Semoga anda semua didalam lindunganNya sentiasa.


Nota: Kuman di seberang laut nampakgajah di depan mata tak nampakkesalahan orang lain yang sedikit kita nampak tetapi kesalahan kita sendiri yang besar kita tidak nampak.



Wednesday 25 July 2012

Kedatangan Ramadhan

Salam berpuasa buat semua rakan-rakan. Apa khabar anda setelah hampir seminggu berpuasa...moga bersemangat, tabah dan ceria di bulan mulia ini. Rasanya ini update terbaru saya semenjak kita berpuasa, mana tidaknya puasa kali ini jadual kerja pula agak padat masa terluang pula timbul-tenggelam. Apa pula agaknya menu berbuka anda hari ini...bagi saya hanya menu ringkas hasil tunjuk-tunjuk di bazar bakal jadi santapan. Tahun ini saya sudah berazam untuk membeli apa yang patut sahaja demi untuk tidak membazir. Sedih melihat saudara-saudara kita di negara-negara lain yang mungkin pada tika ini mengharap cuma agar mampu menjamah hidangan seperti kita disini. Moga diri ini mahupun sesiapa jua diberi keinsafan olehNya. Hindarkan kita dari kealpaan ini.

(Perjalanan ke kampung Ibunda)

(Bunga ros ibu) 












Buat Ramadhan tahun ini kali pertama saya memegang puasa dikampung dengan ibunda tercinta dan adik-beradik selepas beberapa tahun menetap di Kuala Lumpur. Sayunya hati saat malam menjelma, hati terasa sebak mengenangkan zaman kanak-kanak dahulu-kala disaat bulan puasa begini. Dahulu ibunda gemar memasak kuih-muih dirumah, jika tidak buah melaka, agar-agar merah, pengat pisang, lempeng pisang, kuih tepung talam, tepung torak, serabai (kuih orang banjar) yang seakan-akan pancake dan pelbagai lagi hasil air tangan ibunda yang memang tiada tolok bandingnya buat saya. Selalunya masa itu, petangnya saya dan adik-beradik sudah sibuk didapur menbantu ibunda memasak, dahulu bazar Ramadhan tidaklah sepopular sekarang. Apa jua hidangan semuanya dimasak dirumah. Kami adik-beradik amat gemar makan, jadi ibunda tidak pernah lokek memasak sehingga kini sikapnya tidak pernah berubah. Ayah pula sibuk kelaut, dan biasanya kami hanya melihat ayah diwaktu petang. Moga roh ayah dicucuri rahmat atas jasa pengorbanannya membela kami adik-beradik. Terima kasih Allah atas kurniaanMu memiliki ibu dan ayah seperti mereka.


(Juadah bersahur yang ringkas namun cukup membuka selera)
Siang Ramadhan ibunda pula gemar mengaji Al-Quran, mahupun mengajar kanak-kanak belajar mengaji. Saya dan adik-adik pula sibuk bermain. Tiba saat tengahari ke petang itulah dugaan paling besar buat saya menahan lapar dan dahaga. Kadang ada juga tercuri-curi minum air, kata orang sambil menyelam minum air, mana tidaknya pada waktu itu masih lagi belajar berpuasa. Pendek kata bukan saya sahaja yang mempunyai pengalaman pahit-manis dan amat bermakna disaat bulan Ramadhan saya yakin anda semua juga punya memori yang tidak terluah dengan kata-kata mahupun penulisan. Itulah kenangan bermakna yang tidak mungkin dapat diputar kembali hingga ke hujung nyawa. Kerana itu hargailah mereka-mereka yang ada disisi kita. Nikmat kasihsayang serta keluarga yang kita miliki kini adalah anugerahNya.

Dalam cuti pendek menyambut Ramadahan di kampung sempat lagi saya snap serba-sikit gambar untuk tatapan... Selamat berbuka puasa semua!

(Hasil susunan anak saudara yang baru berumur 4tahun yang begitu teruja  mendapat  mainan Ultraman baru)


(Minat ibunda berbunga) 

(Merah dan menarik)

(Masih ku rindu biar sampai bila) 

(My best fren) 

(My heart) 

(Juadah berbuka yang simple-simple saja) 

Nota: Pisang emas dibawa belayar masak sebiji diatas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. 

Friday 13 July 2012

Ilham Santai: Rumahku Syurgaku!.

(Menenangkan jiwa dengan stail ringkas)

Selamat berhujung minggu! Wah! Sangat teruja bila dapat berehat dirumah pada hujung minggu begini. Malamnya pula satu famili boleh makan bersama atau juga bagi yang ingin beromantika, bawa saja pasangan masing-masing makan diluar atau masak sendiri. Pasti senyuman tidak lekang dibibir masing-masing saat memikirkan saat-saat indah bersama yang tersayang. Pendek kata jika ingin jiwa aman, selain beriadah keutamaan haruslah diberikan pada tempat kita berlabuh/berteduh sehari-hari dari dunia luar. 

Tidak mahu membuang masa mari kita layan ide kreatif dan menarik yang akan membuatkan anda dan saya juga asyik melihatnya. Dalam hati, alangkah bagusnya jika satu hari kita memiliki sesuatu yang hampir seperti ini. Rezeki tidak siapalah tahu...aduhai mata kepingin hati memiliki hiasan dalaman rumah atau bentuk rumah yang seperti ini. Tidak perlu mewah cukuplah yang sederhana dan selesa buat diri dan keluarga. Cuci mata dengan sentuhan klasik English Country style home decor. 


(Macam ni pun boleh)
(Ya atau tidak ini sudah menjadi satu kemestian bagi rumah masa kini)




(Ruang santai bersama famili)






(Sederhana namun penuh keistimewaan)

Klik disini jika mahu lebih banyak ide menarik:  http://www.trendhomedesign.com 








(Mungkin para isteri akan lagi bersemangat memasak dengan dapur seperti ini :)


(Ini bentuk rumah idaman saya simple dan klasik)

Nota: Setiap insan ada citarasa tersendiri namun jangan pula kita menilai dan menghukum kerana citarasa mereka kerana itulah yang sering kita lakukan tanpa kita sedari. Sebelum buka mulut lihat diri sendiri dahulu.