Salam berpuasa buat semua rakan-rakan. Apa khabar anda setelah hampir seminggu berpuasa...moga bersemangat, tabah dan ceria di bulan mulia ini. Rasanya ini update terbaru saya semenjak kita berpuasa, mana tidaknya puasa kali ini jadual kerja pula agak padat masa terluang pula timbul-tenggelam. Apa pula agaknya menu berbuka anda hari ini...bagi saya hanya menu ringkas hasil tunjuk-tunjuk di bazar bakal jadi santapan. Tahun ini saya sudah berazam untuk membeli apa yang patut sahaja demi untuk tidak membazir. Sedih melihat saudara-saudara kita di negara-negara lain yang mungkin pada tika ini mengharap cuma agar mampu menjamah hidangan seperti kita disini. Moga diri ini mahupun sesiapa jua diberi keinsafan olehNya. Hindarkan kita dari kealpaan ini.
|
(Perjalanan ke kampung Ibunda) |
|
(Bunga ros ibu) |
Buat Ramadhan tahun ini kali pertama saya memegang puasa dikampung dengan ibunda tercinta dan adik-beradik selepas beberapa tahun menetap di Kuala Lumpur. Sayunya hati saat malam menjelma, hati terasa sebak mengenangkan zaman kanak-kanak dahulu-kala disaat bulan puasa begini. Dahulu ibunda gemar memasak kuih-muih dirumah, jika tidak buah melaka, agar-agar merah, pengat pisang, lempeng pisang, kuih tepung talam, tepung torak, serabai (kuih orang banjar) yang seakan-akan pancake dan pelbagai lagi hasil air tangan ibunda yang memang tiada tolok bandingnya buat saya. Selalunya masa itu, petangnya saya dan adik-beradik sudah sibuk didapur menbantu ibunda memasak, dahulu bazar Ramadhan tidaklah sepopular sekarang. Apa jua hidangan semuanya dimasak dirumah. Kami adik-beradik amat gemar makan, jadi ibunda tidak pernah lokek memasak sehingga kini sikapnya tidak pernah berubah. Ayah pula sibuk kelaut, dan biasanya kami hanya melihat ayah diwaktu petang. Moga roh ayah dicucuri rahmat atas jasa pengorbanannya membela kami adik-beradik. Terima kasih Allah atas kurniaanMu memiliki ibu dan ayah seperti mereka.
|
(Juadah bersahur yang ringkas namun cukup membuka selera) |
Siang Ramadhan ibunda pula gemar mengaji Al-Quran, mahupun mengajar kanak-kanak belajar mengaji. Saya dan adik-adik pula sibuk bermain. Tiba saat tengahari ke petang itulah dugaan paling besar buat saya menahan lapar dan dahaga. Kadang ada juga tercuri-curi minum air, kata orang sambil menyelam minum air, mana tidaknya pada waktu itu masih lagi belajar berpuasa. Pendek kata bukan saya sahaja yang mempunyai pengalaman pahit-manis dan amat bermakna disaat bulan Ramadhan saya yakin anda semua juga punya memori yang tidak terluah dengan kata-kata mahupun penulisan. Itulah kenangan bermakna yang tidak mungkin dapat diputar kembali hingga ke hujung nyawa. Kerana itu hargailah mereka-mereka yang ada disisi kita. Nikmat kasihsayang serta keluarga yang kita miliki kini adalah anugerahNya.
Dalam cuti pendek menyambut Ramadahan di kampung sempat lagi saya snap serba-sikit gambar untuk tatapan... Selamat berbuka puasa semua!
|
(Hasil susunan anak saudara yang baru berumur 4tahun yang begitu teruja mendapat mainan Ultraman baru) |
|
(Minat ibunda berbunga) |
|
(Merah dan menarik) |
|
(Masih ku rindu biar sampai bila) |
|
(My best fren) |
|
(My heart) |
|
(Juadah berbuka yang simple-simple saja) |
Nota: Pisang emas dibawa belayar masak sebiji diatas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.